Wednesday, October 31, 2007

Nasi Tomato

Projek masa bulan puasa dulu. Saja nak kongsi resipi dengan kawan-kawan semua.

Nasi tomato, udang masak merah, sambal telur & jelatah.

Bahan-bahan:
3 cawan beras basmathi
1/2 tin susu cair
2 sudu besar tomato puree
3 biji bawang merah (kat sini guna bwg merah besar tu, 1/2 biji)
1/2 biji bawang besar (hiris nipis)
2 ulas bawang putih (hiris nipis)
1 inci halia (dihiris nipis)
1 biji tomato (dicincang halus)
1 helai daun pandan (disimpul)
Butter/minyak secukupnya (terpulang pada kesukaan masing2, atau campur keduanya sekali)
Rempah tumis secukupnya
1 Kiub pati ayam maggie
Garam secukup rasa
Air biasa/air rebusan ayam secukupnya (kalau guna air rebusan ayam tak perlu guna kiub pati ayam)

Untuk hiasan:
1 tin kecil kacang peas
Bawang goreng

Cara-cara:
Basuh beras dan toskan. Di dalam periuk letrik panaskan butter/minyak. Masukkan rempah tumis, bawang merah, bawang putih, bawang besar & halia. Tumis sekejap. Kemudian masukkan tomato yg telah dicincang. Masukkan tomato puree, biar sekejap. Terus masukkan susu cair, garam, kiub pati ayam maggi dan air. Akhir sekali masukkan beras & daun pandan. Masak nasi seperti biasa.

Bila nasi sudah masak barulah taburkan kacang peas & bawang goreng di atasnya atau ketika nak menhidang. Makan dengan ayam/udang masak merah, sambal telur & jelatah.

Monday, October 29, 2007

Kek Lapis Tinsley

Kek lapis ni ciptaan sendiri. Selalu ambik org punya resepi, kali ini nak try test uji, jadi ke tidak. Nampaknya eksperimen akak menjadi... warna-warni lagi tu... diberi nama kek lapis tinsley sempena mengingati nama tempat tinggal kami sekarang... boleh jadi ingatan & kenangan bila balik Msia nti.


Bahan-bahan:
Adunan dlm kek
250 gram butter
5 biji telur
1 gelas gula halus
1 gelas tepung gandum
1/2 gelas tepung susu
1 sudu teh esen vanilla
1 sudu makan ovelet
1 botol kecil jem blueberry/strawberry/raspberry (utk melekat kek)
3 jenis pewarna (ikut suka)

Cara-cara:
Pukul butter & gula hingga putih. Masukkan telur satu persatu. Pukul hingga sebati & sekata.. Lepas itu, masukkan tepung susu, tepung gandum, ovelet & esen vanilla. Gaul lagi. Bahagikan kepada 3 bahagian yg sama banyak. Letakkan pewarna yg disukai pada setiap bahagian. Bakarlah berlapis2 sama 3 lapisan, 6 lapisan atau 9 lapisan (ikut kesukaan & kerajinan masing2). Bila sudah masak, angkat & sejukkan. Potong kek secara memanjang setebal 1/2 inci tiap2 satu. Ketepikan dahulu.

Kek dipotong secara memanjang

Bahan-bahan:
Adunan luar kek:
250 gram butter
5 biji telur
1 gelas gula perang
1 gelas tepung biskut marie
1/2 botol horlick
1/2 tin susu pekat manis
1 sudu besar ovalet

Cara-cara:
Pukul gula & butter sampai putih. Masukkan telur satu persatu. Lepas itu masukkan tepung roti marie, horlick & susu pekat manis. Gaul sebati.

Cara membuat keseluruhan kek:
Bakar satu lapisan adunan luar kek hingga tiga suku masak. Angkat & sapukan jem di atasnya supaya kek yg disusun tidak berterabur. Kemudian susun kek yg telah dipotong memanjang tadi di atasnya rapat2. Letakkan balik adunan luar kek di atasnya. Bakar lagi hingga tiga suku masak. Angkat, sapu jem & susun balik kek yg telah dipotong memanjang tadi. Tapi kali ini secara bertentangan dgn lapisan yg pertama tadi. Maksudnya jika susunan yg pertama tadi ke timur, susunan yg ini pulak ke selatan. Timbus lagi dgn adunan luar kek. Bakar lagi. Lapisan yg ketiga hendaklah susunan keknya mengikut arah yg sama dgn adunan yg pertama tadi. Jadi apabila kek di potong nanti lapisannya akan berselang seli & nampak cantik.. mcm lapisan buku. Buat 3 lapisan sahaja.

Susun kek dlm acuan mcm ni.

Thursday, October 25, 2007

Kek Lapis Zebra


Bahan-bahan:
Untuk bahagian dalam kek
5 biji telur (ambil 3 biji putihnya)
100 gram gula halus
100 gram tepung hong kong/bluekey superfine
1/2 botol horlick
1 sudu besar ovelet
200 gram butter
4 sudu besar susu pekat manis
Pewarna oren, hijau & unggu (ikut suka)

Cara-cara:
Pukul telur, gula halus, tepung & ovelet hingga kembang dan sebati. Butter dipukul ditempat lain dengan susu pekat manis. Kemudian masukkan ke dalam adunan telur tadi. Masukkan horlick. Adun hingga sebati. Bahagikan adunan kepada 3 bahagian. Masukkan warna oren, hijau & unggu pada setiap adunan. Bakar berlapis2 samada 3, 6 atau 9 lapisan (ikut suka sendiri). Apabila sudah masak, sejukkan dahulu, kemudian potong kek empat segi tepat. Ketepikan dahulu.

Bahan-bahan:
Untuk bahagian atas & bawah kek:
10 biji putih telur
200 gram tepung hong kong/bluekey superfine
150 gram gula halus
1 sudu makan ovelet
250 gram butter (cairkan)
50 ml santan
Jem blueberry (untuk melekatkan kek)

Cara-cara:
Pukul putih telur hingga bertanduk. Masukkan semua bahan ke dalam adunan. Pukul lagi hingga sebati. Bakar 1 lapisan dahulu dengan menggunakan api atas pada kepanasan 150C. Bila sudah agak separuh masak, angkat dan sapukan jem blueberry atasnya. Selepas itu susunkan pulak kek yg telah dipotong segiempat tadi di atasnya. Tujuan meletakkan jem supaya kek melekat di antara satu sama lain & tidak berterabur. Kemudian lapiskan satu lapisan lagi adunan di atasnya. Bakar semula. Bila sudah separuh masak, sapukan lagi jem di atasnya dan susun lagi lebihan kek yg dipotong tadi. Akhir sekali timbus balik adunan sehingga habis. Bakar lapisan yg terakhir tersebut hingga masak dengan menggunakan api atas & bawah dengan kepanasan yang sama.

Kek Lapis Evergreen


Bahan-bahan:
10 biji telur ayam (asingkan putih & kuning)
1 sudu besar ovelet
500 gram butter (bahagi dua)
1 gelas gula halus
1 botol kecil horlick
1/2 tin susu pekat manis
2 sudu besar tepung biskut merry
1 botol pandan pes
11/2 gelas tepung hong kong/blue key superfine
1/2 bungkus santan serbuk

Cara-cara:
Kuning telur dipukul dengan 1/2 gelas gula halus. Masukkan 250 gram butter, pukul hingga kembang. Masukkan horlick, ovelet, tepung roti merry dan juga pandan pes.

Pukul putih telur di tempat lain sampai kembang. Masukkan 1/2 gelas gula halus. Pukul lagi hingga sebati . 250 gram butter dikacau dengan 1/2 tin susu pekat manis di mangkuk yg lain. Kemudian masukkan ke dalam adunan putih telur tadi. Masukkan santan serbuk dan tepung gandum. Adun hingga sebati.

Bakarlah berlapis-lapis dimulai dengan adunan pertama, bila sudah agak separuh masak, lapislah adunan ke 2 pulak. Buatlah begitu sehingga habis. Ikut suka sendiri untuk mencoraknya bagaimana.

Kerabu Udang


Bahan-bahan:
250 gram udang basah (sederhana besar)
2 ulas bawang merah
1/2 biji bawang besar
1 biji tomato
1 batang serai
2 biji cili merah/hijau
5-10 biji cili padi
2 sudu besar sos ikan
1 biji lemon
5 tangkai daun ketumbar
Gula melaka/gula apong (gula Sarawak)
Garam

Cara-cara:
Kupas kulit udang, buang urat belakang, kemudian celur dengan air panas. Kemudian potong udang ikut suka (samada nak potong kecil2 @ agak kasar). Lepas itu toskan. Mayang bawang merah, bawang besar, serai, cili merah/hijau. Cili padi dihiris kasar atau diketuk sedikit (kalau nk hiris nipispun boleh). Tomato di hiris dadu. Daun ketumbar dicincang kasar. Larutkan gula melaka/gula apong dgn sedikit air. Perah lemon menjadi jus.

Gaulkan kesemua bahan2 tadi dengan udang hingga sekata. Masukkan garam. Sesuaikan rasa masam, manis & masinnya. Boleh disimpan dalam peti sejuk jika suka.

Wednesday, October 24, 2007

Sup Tulang Rusuk Berempah


Bahan-bahan:
1 kg tulang rusuk
1 sudu besar ketumbar
1 sudu teh jintan putih
1 sudu teh jintan putih
1 sudu teh kari daging
5 ulas bawang putih
2 inci halia
1 kiub tulang rusuk maggi
Garam, gula & serbuk perasa (jika suka)
Rempah tumis secukupnya
Minyak utk menggoreng

Sayur:
2 btg saderi
1 btg karot
2 biji kentang
1 biji tomato

Untuk hiasan:
Bawang goreng
Daun bawang
Daun Sup

Rebus tulang rusuk selama 1 jam. Kisar ketumbar, jintan putih & jintan manis. Tumbuk halia & bawang putih. Tumis rempah tumis, kemudian masukkan serbuk ketumbar, jintan manis & putih. Masukkan halia & bawang putih, biar hingga naik bau. Kemudian masukkan serbuk kari daging. Masukkan ke dalam tulang yg telah direbus tadi. Biarkan sekejap sehingga daging empuk.

Potong batang saderi & karot secara merencong, kentang dibelah empat. Tomato juga dibelah empat. Bila daging agak empuk, masukkan kentang & biar sekejap. Masukkan batang saderi, karot & tomato. Akhir sekali masukkan bahan2 perasa.

Hiris halus daun bawang & daun sup. Ketika menghidang taburkan bawang goreng, daun bawang & daun sup. Enak dimakan ketika panas.

Ayam Golek Masak Lemak Cili Api


Bahan-bahan:
1 ekor ayam
2 batang serai (diketuk)
1 helai daun kunyit (dipintal)
10-15 biji cili padi @ cabai burung(kalau nk pedas bleh tambah cili, klu tak nak pedas kurangkan cili)
1 inci halia
1 inci kunyit @1 sudu besar serbuk kunyit
5 ulas bawang merah
1 biji bawang besar
1 mangkuk santan pekat
Garam & gula secukup rasa
Sedikit kiub pati ayam

Cara-cara:
Bersihkan ayam, kemudian belah sedikit bahagian dada ayam supaya cepat masak dan ayam tidak mentah di bahagian dalamnya. Kisar cili, halia, kunyit, bwg merah & bwg besar. Masukkan santan pekat ke dalam kuali yg agak2 muat utk seekor ayam supaya senang nak mengoleknya nanti. Masukkan bahan2 yg telah dikisar tadi, serai & daun kunyit. Masukkan ayam & bahan2 perasa. Bila memasak hendaklah api yg paling kecil sekali & jgn biarkan santan mendidih (pecah minyak). Sama seperti kita buat rendang. Balik2kan ayam supaya masak sekata & tidak hangus bahagian bawahnya. Tunggu hingga ayam betul2 empuk & kuahnya agak pekat.

p/s: Boleh juga digrill dulu sebelum digolek ataupun setelah digolek baru le digrill (ikut kesukaan masing2). Warnanya akan lebih cantik.

Kek Lapis Proton Saga


Bahan-bahan:
Untuk adunan dalam kek:
250gram butter
5 biji telur ayam
1 gelas gula halus
1 gelas tepung gandum
1/2 gelas tepung susu (tak kira apa jenama)
1 tin kaya
1 sudu teh esen vanilla
Pewarna merah, hijau & kuning

Cara-cara:
Butter dan gula dipukul hingga sebati dan putih. Masukkan telur satu persatu, pukul hingga sebati dan sekata. Masukkan kaya, susu tepung, tepung gandum dan esen vanilla. Gaul sebati. Kemudian bahagikan adunan kepada 3 bahagian yg sama banyak. Bahagian pertama masukkan pewarna merah, bahagian ke 2 masukkan pewarna hijau & bahagian ke 3 masukkan pewarna kuning. Bakar setiap lapisan berlapis2 samada 3 lapisan, 6 lapisan atau 9 lapisan (ikut kerajinan masing2). Bila telah siap, biarkan sejuk terlebih dahulu. Bila dah sejuk potonglah bebentuk dadu (empat segi tepat). Ketepikan dulu.

Adunan pertama yg telah dipotong dadu (empat segi tepat)

Bahan-bahan
Untuk adunan luar kek:
250gram butter
5 biji telur ayam
1 gelas gula halus (kalau tak nak manis kurangkan separuh gula)
1 gelas tepung biskut merry
1 tin kaya
1/2 botol horlick
1/2 tin susu manis

Cara-cara:
Gula dan butter dipukul hingga kembang dan putih. Masukkan telur satu persatu. Selepas itu masukkan tepung roti, kaya, horlick dan susu manis. Gaul hingga sebati dan sekata.

Kemudian ambil kek yg telah dipotong dadu tadi, kemudian masukkan semua ke dalam adunan yg ke 2. Gaul rata tp jgn terlalu kuat, takut kek akan berkecai. Akhir sekali bakar le kek selama 2-3 jam dgn api atas & bawah dengan kepanasan 150C. Selalu periksa, kalau kek nampak hangus diatas, kurangkan kepanasan ke 130C.

Kek Cheese


Bahan-bahan:
6 biji telur ayam (buang 2 putihnya)
100 gram gula halus
100 gram tepung hong kong (blue key superfine boleh juga)
60 gram tepung jagung (maizena)
50 gram air sejuk (dr peti ais)
1 sudu teh baking powder
2 sudu makan ovelet
75 gram mentega (dicairkan)


Untuk krim:
1 kotak cream cheese philadelphia
1/2 tin susu pekat manis (satukan kedua bahan & putar sehingga tidak berketul2.

Untuk topping:
1/2 kotak kraft cheddar cheese (parutkan)


Cara-cara:
Masukkan semua bahan2 kecuali mentega cair. Putar.Putar dgn kelajuan sederhana sehingga pekat & putih. Akhir sekali masukkan mentega cair. Putar lagi. Sehingga sebati & pekat. Sediakan acuan yg telah dialas dgn kertas minyak atau yg telah disapu dgn sedikit butter. Bakar dalam acuan dengan menggunakan api atas dan bawah selama 45 minit ke 1 jam, dengan kepanasan 150C.

Bila sudah masak biarkan sejuk. Bila dah sejuk, ambil pisau kek dan potong di tengah-tengah kek supaya menjadi dua bahagian. Sapukan krim cheese di atas separuh kek tadi, kemudian letakkan sebahagian lagi kek di atasnya. Sapukan lebihan krim cheese sehingga menutupi seluruh kek. Akhir sekali taburkan cheese kraf yang telah diparut tadi keseluruh kek sebagai toppingnya. Masukkan dlm peti ais dlm 1-2 jam. Lepas tu baru potong.

Ayam Madu BBQ


Bahan-bahan:
12 ketul kepak/peha ayam
4 sudu makan madu
1 sudu makan ketumbar
1 sudu teh jintan manis
1 sudu teh jintan putih
2 inci halia
10 ulas bawang merah
5 ulas bawang putih
3 sudu makan sos cili
3 sudu makan kicap pekat
1 sudu makan sos tiram
1 sudu makan cili boh (klu nk pedas blh tmbh lg)
Garam secukup rasa


Cara-cara:
Kisar kering ketumbar, jintan manis & putih. Kisar/tumbuk halia, bwg merah & putih. Gaul semua bahan2 tadi ke dalam ayam. Sesuaikan rasa manis & masinnya. Perap semalaman @ sekurang2nya 2 jam supaya semua bahan2 td meresap masuk ke dalam isi ayam. Panggang/bakar seperti biasa. Enak makan begitu saja @ dengan nasi minyak, nasi putih dsbnya.

Tuesday, October 23, 2007

Puding Kastad Koktail Berkuah


Bahan Untuk Puding:
1 tin fruit cocktail (tak kira apa jenama)
1 gelas tepung bird castard
6 gelas air (guna air dr fruit cocktail + air biasa)
6 sudu makan gula
6 sudu makan susu pekat

Bahan Untuk Kuahnya:
1 tin susu cair
1/2 gelas gula
1 biji telur
1 helai daun pandan (@ 1 sudu teh pandan paste)

Cara membuatnya:

Puding:
Masukkan tepung castard, air, susu pekat & gula ke dlm satu bekas. Kacau sehingga tepung & gula larut. Jgn biar berketul. Lepas itu tapis & masukkan ke dlm kuali. Gunakan api yg sgt kecil, takut nanti hangus di bawah. Kacau jgn berhenti. Bila hampir separuh masak, masukkan fruit cocktail yg telah ditoskan airnya. Gaul lg hingga pekat & berkilat. Kemudian angkat, masukkan ke dalam bekas & sejukkan. Bila dah sejuk, masukkan ke dalam peti ais sehingga keras.

Kuah:
Pukul telur, gula & susu cair dlm satu bekas. Masukkan ke dalam periuk. Dgn api perlahan kacau bhn2 td jgn berhenti. Masukkan daun pandan @ pandan paste ke dalamnya. Bila dah agak pekat, angkat & sejukkan. Bila hendak makan, potong @ sendukkan sedikit puding, kemudian tuangkan kuah ke atasnya.

Kuah puding.

Kerabu Taugeh


Bahan-Bahan:
Sebungkus taugeh (dlm 50sen kalau kat msia)
3 ulas bawang merah (dihiris)
7 biji cili padi (dihiris)
Seinci belacan (dibakar)
Sedikit udang kering (rendam dulu)
1 sudu teh lada hitam biji
2 sudu makan air perahan lemon/limau
1 sudu makan kerisik
Garam & gula secukup rasa


Cara membuatnya:
Taugeh/pucuk paku hendaklah dicelur terlebih dahulu. Jgn lama sgt, nanti lembik pulak. Kemudian toskan airnya. Ketepikan dulu. Hiris halus bawang merah & cili padi. Tumbuk udang kering, belacan, lada hitam dan kalau nak pedas tambah sedikit cili padi. Tumbuk sampai lumat. Masukkan bahan2 yg telah ditumbuk tadi ke dalam taugeh/pucuk paku. Gaul rata.

Masukkan kerisik. Gaul rata lagi, jgn biarkan kerisik berketul. Akhir sekali masukkan air perahan lemon/limau, garam & gula. Sedia untuk dimakan dgn nasi panas.

Kek Lapis Tepung Pulut


Bahan-Bahan:
25 biji kuning telur (ambil 4 biji putih telur)
150gram gula halus (boleh kurangkan manisnya)
4 sudu besar susu pekat
110gram tepung pulut
16 auns butter
1 sudu besar ovelet
1 gelas tepung gandum
1 botol kecil horlick
3 jenis pewarna (ikut suka)

Cara membuatnya:
Pukul telur dgn gula kastor hingga kembang. Masukkan ovelet. Butter dipukul di tempat lain hingga agak keputihan dan pekat. Satukan kedua adunan tadi. Pukul lagi biar sekata. Masukkan susu, tepung pulut & tepung gandum. Gaul lagi biar sebati. Akhir sekali bahagiakan adunan kepada 3 bahagian. Masukan pewarna yg disukai dlm setiap adunan.

Sediakan acuan yg telah dilapik dgn kertas minyak @ disapu mentega. Ambil 5 sudu makan dr adunan td dan bakarlah selama 5-10 minit. Bila dah tiga suku masak lapiskan adunan dr warna yg lain pulak. Buatlah begitu berselang-seli hingga habis.

Kerabu Mangga Muda Ala Thai


Bahan-bahan:
1 biji mangga muda
5-10 cili padi/cabai burung
1/2 inci belacan
Segenggam ikan bilis
3 tangkai daun ketumbar
1 sudu makan jus lemon
2 biji bawang merah
1/2 biji bawang besar
1 sudu besar sos ikan
Gula melaka/gula apong (gula sarawak)
Garam


Cara membuatnya:

Cincang mangga muda. Tumbuk belacan dan ikan bilis hingga lumat. Hiris cili padi/cabai burung, daun ketumbar, bawang merah & bawang besar. Campurkan sedikit gula melaka/gula apong dengan air suam, larutkan.

Campurkan semua bahan-bahan dengan mangga, masukkan jus lemon, sos ikan, garam & gula. Sesuaikan rasa masam, masin & manisnya.

Ikan Salmon Tauchu

Bahan-bahan:
2 keping ikan salmon
15 biji bendi
3 sudu makan tauchu
1 inci halia
5 biji cili burung/cili padi (kalau nk pedas tambah cili)
3 ulas bawang merah
1 ulas bawang putih
1 labu bawang besar
Minyak utk menumis
Sedikit garam
Gula
Sedikit kiub pati ikan bilis maggi
1 sudu teh cuka/jus lemon
2 gelas air

Cara membuatnya:
Goreng ikan salmon setengah masak. Halia, bawang merah, bawang putih dihiris nipis. Belah sedikit cili tapi jangan putus. Bawang besar dibelah empat. Bendi biar sebiji-sebiji jangan dipotong, cuma buang bahagian kepalanya.

Tumis bahan-bahan yg telah dihiris hingga naik bau. Masukkan cili dan tauchu. Gaul sebentar, kemudian masukkan air, cuka/jus lemon, garam (jgn terlalu byk kerana tauchu masin). gula dan kiub pati ikan bilis. Biar mendidih sekejap, masukkan ikan salmon. Akhir sekali masukkan bendi, jgn masak terlalu lama kerana bendi akan lembik, biar bendi ranggup sedikit.

# resepi dari Mohd Zahuri...Perak mali...

Terung Sambal Tumis


Bahan-bahan:

10 biji terung (sederhana besar)
2 sudu besar cili boh (cili kering yg telah diblender)
6 biji bawang merah
3 ulas bawang putih
Sedikit ikan bilis/udang kering
2 sudu makan kicap manis pekat
Sedikit kiub pati ikan bilis
Sedikit garam (jgn letak byk sbb dh guna kicap pekat manis)
Minyak utk menumis & menggoreng terung

Cara membuatnya:
Terung dibelah dua. Bahagian yg telah dibelah tadi dibelah separuh jgn putus. Goreng terung separuh masak (sedikit kekuningan). Angkat & toskan minyaknya.

Tumbuk semua bahan-bahan seperti bawang merah, bawang putih & ikan bilis. Tumis semua bahan sehingga naik baik. Masukkan bahan perasa seperti kiub pati ayam & sedikit garam. Masukkan terung, jgn kacau terlalu kuat sebab nanti terung menjadi lembek. Akhir sekali masukkan kicap manis pekat. Siap utk dihidangkan ketika panas.

# resepi ini diperolehi dr seorg teman.. org Penang...

Nasi Goreng Kampung


Bahan-bahan:

1 mangkuk besar nasi
15-20 biji cili padi/cabai burung (tak nak pedas kurangkan)
5 biji bawang merah
2 ulas bawang putih
1 biji bawang besar
Segenggam ikan bilis
Sedikit kiub pati ikan bilis
Garam & gula

Bahan hiasan:
Bawang goreng
Telur dadar (digulung & dihiris)

Cara membuatnya:
Tumbuk cili padi, bawang merah, bawang putih & ikan bilis. Bawang besar dimayang. Tumis semua bahan-bahan sehingga naik bau & garing. Masukkan nasi putih, gaul rata. Masukkan bahan-bahan perasa seperti kiub pati ikan bilis, garam & gula. Sesuaikan rasa. Akhir sekali masukkan bawang besar yg telah dimayang. Untuk hiasan taburkan bawang goreng & telur dadar (ikut suka).

# resepi ini adalah resepi mak saudara Zahuri (Alang) dari Klang, Selangor.

Rendang Pedas Perak


Bahan-bahan:
1 kg daging/ayam
10 ulas bawang merah
5 ulas bawang putih
3-5 sudu besar cili boh (cili kering yg telah diblender)
2 inci lengkuas
4 inci halia
5 batang serai
1 sudu besar ketumbar
1 sudu teh jintan putih
1 sudu teh jintan manis
2 sudu besar kerisik
2 sudu makan serbuk kari daging
3 helai daun kunyit
400ml santan pekat (sebiji kelapa)
Sedikit kiub pati ayam maggi
Garam, & gula


Cara-cara membuatnya:
Potong daging ikut suka. Semua bahan-bahan seperti bawang merah & putih, lengkuas, halia, serai dikisar. Ketumbar, jintan putih & manis dikisar kering. Daun kunyit dihiris halus.

Tumis semua bahan-bahan hingga naik bau. Masukkan rempah kari dan kerisik. Masukkan daging/ayam, biar airnya agak kering sedikit. Selepas itu masukkan santan pekat. Kecilkan api dan balik-balikkan ayam sekerap yg mungkin (takut hangus dibawahnya). Bila agak separuh masak, baru masukkan daun kunyit. Selepas itu masukkan bahan-bahan perasa seperti kiub pati ayam, garam dan gula.

Tunggu sehingga kuah pekat dan daging/ayam empuk. Boleh dihidangkan dengan nasi putih, nasi minyak, lemang atau ketupat.

# resepi ini adalah resepi keluarga di Perak... tapi telah diubah suai ikut selera sendiri.

Kek Lapis Zigzag (kek lapis Sarawak)

Bahan A (dalam kek)
5 biji kuning telur
3 biji putih telur
150 gram gula kastor
100 gram tepung hong kong
1 sudu makan ovelet

Bahan B
(dalam kek)
200 gram mentega/butter
3 sudu makan susu pekat

Bahan untuk bahagian luar kek:

300 gram putih telur (8 biji putih telur)
190 gram tepung hong kong
150 gram gula kastor
1 sudu makan ovelet
250 gram butter/mentega (cairkan)
50 ml susu cair

Cara untuk membuat inti kek (dalam kek):
Pukul Bahan B hingga sebati. Pukul Bahan A hingga kembang. Kemudian masukkan ke dalam Bahan B. Gaul sebati. Bahagikan adunan kepada 3 bahagian. Bhgn pertama masukkan pewarna hijau, bhgn ke 2 masukkan pewarna merah & bhgn ke 3 masukkan pewarna kuning. Bakar bhgn pertama dulu, bila hampir masak, lapiskan bhgn ke 2 dan seterusnya bhgn ke 3. Buat 3 lapisan. Bila masak, sejukkan dulu. Apabila sudah betul2 sejuk potonglah kek tersebut berbentuk memanjang. Kemudian potong segitia kecil2 atau segiempat sama. Biarkan dulu.

Cara untuk membuat lapisan luar kek:

Pukul putih telur hingga kembang. Kemudian pukul semua bahan kecuali mentega cair. Akhir sekali barulah masukkan mentega cair. Gaul rata & sebati. Bakar lapisan pertama sebanyak 5 sudu makan. Bila hampir masak susunkan kek yang telah dipotong tadi di atasnya. Masukkan adunan di atasnya sehingga menutupi semua kek yang telah dipotong. Bakar lagi. Bila hampir masak susun lagi kek yang telah dipotong tadi. Buatlah begitu sehingga semua adunan habis.

Guna acuan 81/2 x 81/2 inci

Pembuka Bicara

Assallamualaikum & salam sejahtera untuk semua. Tujuan saya buka blog masak-masak ni bukan le apa, sekadar untuk rujukan sendiri dan kepada sesapa yg sudi untuk menjengah blog masak-masak ni terima kasih le ye... sudi-sudikan le melayari blog masak-masak saya yg tak seberapanya ini...

Saya akan masukkan resepi keluarga yang pernah dicuba, disamping kek-kek lapis sarawak yang pernah dibuat & eksperimen yang pernah dicuba & menjadi. Kebanyakan resepi-resepi saya ambik dari kawan-kawan, saudara mara & sesiapa saja yg sudi memberi resepi. Jom le kita berkongsi sama-sama...